Thursday, July 23, 2020

Pejabat Kesihatan Tawau selesai saring 500 kakitangan Jabatan Penjara

TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau pada Khamis selesai melakukan saringan COVID-19 ke atas 500 kakitangan Jabatan Penjara Tawau, yang dipercayai terdedah dengan wabak itu selepas salah seorang anggota jabatan itu disahkan positif wabak itu pada Selasa lepas, kata Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran.


"Kita juga mengambil tindakan susulan dengan mengesan lokasi pergerakan pesakit lelaki yang positif ini, termasuk hari ini kita mengadakan ujian saringan ke atas peniaga di Pasar Sri Tanjung," katanya dan menambah kes pesakit itu membabitkan penularan tempatan.
Dalam pada itu ujian saringan ahli keluarga serta kontak rapat pesakit berkenaan setakat ini juga didapati negatif, kata beliau ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini. 

Beliau juga berkata seorang lelaki dikesan memalsukan sejarah perjalanannya ke luar negara serta membuang gelang tangan yang dipakai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menyambung penerbangan ke Tawau untuk mengelakkan kuarantin di rumah.
Navindran berkata lelaki berusia 30-an itu mengaku berbuat demikian selepas disiasat Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau pada 21 Julai lepas.

Lelaki itu pada mulanya menghubungi pejabat berkenaan dengan alasan gelang tangan di bawah kuarantin COVID-19 itu telah hilang tetapi siasatan menunjukkan beliau memberikan maklumat tidak benar sewaktu mengisi borang pengisytiharan kesihatan di KLIA untuk ke Tawau.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan beberapa gelang tangan di KLIA yang dikatakan sengaja ditanggalkan oleh mereka yang baru pulang dari luar negara dipercayai kerana enggan menjalani tempoh kuarantin.

-- BERNAMA /ASTRO AWANI

Wednesday, July 22, 2020

Penjenayah ditahan selepas aksi kejar mengejar.

KOTA KINABALU: Lebih 30 minit. Itu tempoh aksi mengejar empat kenderaan peronda polis (MPV) terhadap sebuah kereta Proton Iswara sebelum berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, ketiga-tiga lelaki berusia 21 hingga 44 tahun yang mempunyai belasan rekod jenayah itu berjaya ditahan di Jalan Lintas Khidmat, di sini.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek mula dikejar di Jalan Keleto, Inanam, sebelum melalui beberapa jalan utama termasuk Jalan Kingfisher dan jalan berhampiran Yayasan Sabah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kereta Proton Iswara berkenaan dipandu secara melulu sehingga membahayakan kebanyakan pengguna jalan raya di setiap laluan yang mereka lalui.
Katanya, ketiga-tiga suspek akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan mereka terbabas sebelum terhenti di Jalan Lintas Khidmat.
“Ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri termasuk bertindak ganas terhadap pasukan polis namun berjaya ditahan sejurus selepas itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa paket dadah yang di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Habibi berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kegiatan samun, pecah rumah dan dadah.
Katanya, ketiga-tiga suspek adalah warga tempatan yang berasal dari Sandakan, Kudat dan Nabawan.
“Siasatan awal turut mendapati ketiga-tiga suspek masing-masing mempunyai 16, lapan dan tiga kes jenayah.
“Polis akan membuat siasatan lanjut bagi mengenalpasti sejauh mana pembabitan mereka dalam jenayah dadah,” katanya.
Habibi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.