Saturday, September 28, 2019

Pugai balabak

Pugai adalah satu istilah yang digunakan di Sabah bagi merujuk kepada ilmu pengasih. Di Sabah terdapat pelbagai jenis pugai namun antara pugai yang terkenal ialah pugai Balabak.




Pugai Balabak sebenarnya berasal dari kepulauan Balabac dan kepulauan Banggi. Seorang wanita bernama Limpatuk yang juga wanita bersuami 7 merupakan orang pertama menghasilkan minyak pengasih pugai balabak. Minyak pugai balabak ini dihasilkan dari sejenis kayu ajaib iaitu kayu balabak dan pokok ini hanya tumbuh di pulau Balabak dan Banggi Sabah.

Ciri-ciri kayu ini ialah ianya tumbuh menjalar dan pucuknya akan bertaut semula dengan pangkal akarnya seperti seperti tunduk menyembah bumi. Walaupun pokok ini menjalar dan membesar, pucuk pokok ini akan terus berpaut pada akarnya sehingga mati. Pokok ini hanya berdaun dihujung dan daunnya runcing serta berbunga putih. Pokok balabak hanya akan berbunga sekuntum sahaja setiap 10 tahun dan bunganya berputik dan mekar cuma dalam tempoh satu malam sahaja. Keesokan harinya kuntum bunga pokok balabak akan ghaib dengan sendirinya. Oleh itu amat sukar untuk menemui kuntum bunga yang menjadi ramuan utama pugai balabak ini. Setakat yang diketahui hanya Limpatuk sahaja yang pernah menjumpai bunga ini. Selepas menemui kuntum bunga pokok balabak, Limpatuk menghasilkan minyak pengasih dengan ramuan bersama kayu dan akar pokok balabak. Dari ramuan itu lah yang menjadi IBU minyak pugai balabak yang diwarisi dari generasi ke generasi. Sekiranya ada individu yang meminta minyak pugai balabak akan diberi hanya setitis namun sudah memadai kerana minyak itu akan bertambah dengin sendiri setiap bulan purnama.

Walau bagai mana pun, untuk memiliki minyak pugai balabak mempunyai pelbagai rintangan dan dugaan. Ini kerana antara pantang larang pugai ini ialah tidak boleh keluar dari pulau asalnya. Sekiranya pugai ini dibawa keluar merentasi laut, ribut taufan akan datang menyerang. Selain itu haiwan seperti ikan yu dan burung camar juga akan datang menyerang.

Sekiranya berjaya membawa keluar dari pulau, haiwan di darat juga akan tertarik dengan pugai ini.  Haiwan seperti lipan dan ular akan sering memasuki rumah sekiranya minyak pugai ini diletakkan di dalam rumah. Oleh itu antara pantang pugai ini ialah jangan disimpan dalam rumah.

Selain untuk memikat hati untuk percintaan, minyak pugai balabak ini juga sering digunakan untuk tujuan pelaris perniagaan dan juga menguatkan pengaruh politik.

-**


No comments:

Post a Comment