Friday, January 18, 2019
Hantu parking lot
Sedar tak sedar saya sudah masuk 3 bulan kerja sebagai pengawal keselamatan di sini. Walau pun sekadar pengawal keselamatan tapi tugas saya agak mencabar kerana menjaga salah satu pusat membeli belah yang terkenal. Kalau kerja shift siang macam macam kes kena tangani. Kes mencuri, ada yang bergaduh, jaga lalu lintas kawasan parking dan kadang-kadang terpaksa menegur orang yang merokok di kawasan larangan. Kalau kena shift malam pula tidak boleh terlelap sedikit pun sebab seorang kena jaga sampai 3 tingkat mesti ronda ikut masa sebab takut ada pencuri. Tapi apa pun kena tahan hati juga untuk meringankan beban keluarga.
Saya masih ingat lagi waktu saya kena temudaga.
"Kau ok kah kalau kerja shift malam?" Ketua pengawal bertanya.
"Boleh tuan" saya menjawab dengan nada yakin.
"Kau takut hantu kah?" Dia bertanya dengan mata tajam tapi di tambah dengan senyuman sinis.
"Tidak tau tuan, saya belum pernah nampak hantu?" Sambil saya ketawa kecil.
Ketua pengawal itu membetulkan kerusinya kemudian duduk dengan tegak sambil memandang tepat ke arah saya dan bertanya,
"Kalau saya suruh kau jaga 3 tingkat kawasan parking bangunan ini waktu malam.... seorang diri kau sanggup kah?"
"Sanggup tuan!!!"
Saya jawab dengan yakin saja sebab sebelum saya mohon kerja di sana saya sudah maklum sebagai pengawal keselamatan ada kala kerja waktu siang dan ada kala kerja waktu malam. Soal hantu saya tidak berapa fikirkan sebab saya orang kampung biasa jalan-jalan di hutan seorang diri waktu malam. Jadi dalam fikiran saya ini bandar, terang menderang sepanjang malam dan sentiasa ada orang berjalan, apa juga yang menakutkan?.
Bermula dari temu duga itu saya di beri arahan untuk bekerja shift siang, sehingga lah 3 bulan kemudian saya di panggil ke pejabat pengurusan bangunan.
Bos besar pihak pengurusan pusat membeli belah sudah sedia menunggu saya dalam pejabat. Sambil memegang sehelai kertas dia merenung dan tersenyum.
"Esok kau cuti, lusa kau turun shift malam boleh kah?"
Saya yang sedikit gugup sebab berhadapan dengan bos menjawab ringkas.
"Ya bos, boleh bos"
"Bagus, kau akan saya tugaskan sebagai incharge bahagian parking waktu malam. Kau akan ada 2 orang anggota dan setiap anggota meronda 3 tingkat parking mengikut masa yang di tetapkan. Tugas kamu adalah menyelia 2 anggota ini. Sekiranya ada anggota yang ingin ke tandas, mahu ambil rehat atau apa-apa alasan untuk meninggalkan kawasan jagaan kau kena ambil alih tempat mereka. Faham?"
Saya pun angguk sambil menjawab,
"Faham bos"
Tapi dalam hati saya
"Cepat juga saya jadi incharge. Harap-harap 2 anggota saya tu ok"
Setelah sehari bercuti saya kembali kerja dengan jadual yang agak berbeza. Kali ini saya masuk kerja jam 9 malam dan akan balik pada pukul 7 pagi. Saya lapor diri dengan ketua shift malam kemudian ketua shift malam memperkenalkan saya kepada 2 anggota yang akan berada di bawah seliaan saya.
"Ini Rajik, dia ni sudah 6 tahun kerja di sini. Dari start dia masuk sampai sekarang tidak pernah tukar posisi. Sentiasa jaga tingkat 1,2 dan 3 parking waktu malam."
Dari pengamatan saya Rajik mungkin dalam usia 40an. Tubuh gempal, rendah sedikit berbanding saya, berkulit cerah dan mata bulat. Orangnya kelihatan kurang bercakap dan mungkin pemalu. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam sambil tersenyum.
"Ini Badur, mau dekat 9 tahun sudah dia kerja sini. Macam-macam sudah pengalaman dia ni. Dia ni semua lokasi dan shift dia sudah try. Kalau jaga parking 4,5,6 waktu malam mau dekat setahun sudah dia ni. Nanti badur akan bawa kau tengok kunci jam shift malam sebab tidak sama dengan kunci jam waktu siang"
Kunci jam bermaksud kunci yang diletakan di pelbagai lokasi kawasan rondaan pengawal. Pengawal akan diberi satu jam yang perlu di kunci mengikut masa tertentu untuk menjadi bukti bahawa pengawal tersebut membuat rondaan di kawasan yang diletakkan kunci.
Badur seperti orang yang mesra dan mudah di bawa bercakap. Orangnya kurus, bermisai nipis dan umur lingkungan 30an.
Nampak cergas bertenaga dan periang orangnya.
"Bah mari, kita round kawasan kita" sambil badur menepuk nepuk bahu saya.
Saya rasa selesa dengan rakan kerja saya yang baru. Badur membawa saya melihat kawasan rondaan bermula dari tingkat 1.
"Kau biasa juga bah kan jaga parking waktu siang" Badur cuba memulakan cerita.
"Biasa juga, cuma waktu siang semua tingkat ada pengawal"
"Ya, kalau malam kita tiga saja. Rajik stand by tingkat 2 saya stand by tingkat 5 dan kau akan stand by di tempat kami kalau kami meronda sudah."
Badur banyak bercerita tentang pengalaman dia semasa mengawal waktu malam sambil menunjukan lokasi kunci jam.
"Bagus juga kalau shift malam ni bro, jarang bos besar datang. Cuma saya dengan Rajik saja paling lama bertahan shift malam. Yang lain tukar tukar saja."
Saya pun mula rasa sangsi
"Aik,, kenapa juga tukar tukar. Ada masalah kah?"
"Entah lah bro. Macam macam alasan diorang. Ada hantu kacau lah, mimpi buruk lah, macam-macam lah bah. Kalau sudah malas kerja ni alasan yang tidak lojik pun pandai keluar"
Sambil saya ketawa kecil
"Ya lah. Betul juga"
Sambil kami naik tangga untuk ke tingkat terakhir iaitu tingkat 6 saya tanya dengan Badur
"Dur selama kau di sini kau tidak pernah rasa lain-lain kah, macam kena kacau benda yang pelik?"
Badur tersenyum sambil menoleh ke arah saya. Tapi yang peliknya Sejurus dia menoleh ke arah saya dia terhenti berjalan dan senyumannya hilang. Mata dia merenung ke arah saya tanpa berkelip dan muka macam pucat.
"Ah, Badur.. kenapa kau ni?"
Dia masih lagi kaku merenung saya. Dalam hati saya
"Saya salah tanya kah ni?"
Saya mula rasa pelik dan sedikit risau. Saya tepuk bahu Badur yang masih merenung ke arah saya
"Badur!!! Kenapa kau ni. Kau mau kasi takut saya kah ni"
Badur undur satu langkah perlahan lahan dia tutup mata sambil hembus nafas panjang kemudian tunduk dan meneruskan perjalanan. Saya yang tidak berpuas hati dengan kelakuan dia terus bertanya
"Woii Badur!!! Kenapa kau. Saya silap tanya kah?"
Dia terus berjalan tanpa menoleh sambil menjawab
"Kalau kita anggap semua yang kita lihat itu kawan, tiada masalah. Semua pasti ok"
Saya berlari lari anak mengejar dia kemudian menahan bahunya.
"Kenapa kau tiba-tiba begini Badur. Kau sengaja kasi takut saya kah. Kalau begini kau layan orang baru, siapa pun tidak tahan oh."
Dia kemudian menolah ke arah saya, kemudian senyum
"Tiada apa apa bah, kan saya bilang kita anggap saja apa yang kita nampak itu kawan ok sudah tu"
Badur kini agak muram berbanding tadi. Di tingkat 6 dia sedikit pelik dan kurang bercakap. Dia hanya menunjukan lokasi kunci kemudian berkata,
"Bah, kau pigi lah tempat si Rajik. Dia mau start meronda sudah tu. Lepas Si Rajik habis meronda nanti saya panggil untuk tukar tempat stand by saya."
Saya pun tidak banyak cakap sudah sebab macam lain perasaan saya Badur tiba tiba bermasam muka. Saya terus ke tempat Rajik stand by. Apabila saya tiba di tempat Rajik dia terus berdiri dari kerusi bersiap-siap buat rondaan. Sambil tersenyum Rajik berkata,
"Bah, saya kunci jam dulu"
Dalam beberapa langkah Rajik pergi saya panggil dia.
"Rajik"
"Ya bro"
"Si Badur bah, time kami bercerita tadi tiba-tiba dia macam lain-lain ni. Macam muram masam saja muka dia. Dia memang begitu kah tu?
Bila saya tanya begitu air muka si Rajik pun macam berubah kemudian bertanya,
"Ngam-ngam di tingkat 6 kah dia jadi muram?"
"Ya Rajik, di tingkat 6. Macam mana kau tau?"
Si Rajik terdiam sekejap dia alihkan pandangan dia ke arah lain kemudian tunduk. Dia tarik nafas kemudian menoleh ke arah saya kembali,
"Kau relak saja bro, tiada apa-apa juga tu. Mangkali dia penat bah tu. Lama sudah dia tidak cuti tiada orang ganti. Bah saya meronda dulu."
Rajik terus berpaling dan meneruskan rondaan. Saya masih berdiri terpaku berfikir apa yang tidak kena.
"Macam mana si Rajik tahu Badur berperangai pelik di tingkat 6. Jangan-jangan ada something wrong dengan tingkat 6 ni"
Dalam hati saya.
Saya kemudian duduk di tempat Rajik stand by. Jam lebih kurang 10 malam. Kereta yang parking pun tidak banyak tapi masih ada orang yang berlegar-legar di kawasan parking. Ada juga pengunjung yang baru sampai. Mungkin diorang mahu tengok wayang. Saya duduk sambil memikirkan perangai pelik 2 anggota saya.
Lebih kurang 30 minit kemudian dari jauh saya nampak Rajik berjalan menuju ke arah saya.
"Siap sudah dia meronda mangkali ni"
Dalam hati saya.
Apabila Rajik sampai tempat saya dia terus cakap
"Cuba kau tanya Badur. Mungkin dia pun mahu kunci jam sudah tu"
Saya pun mencapai walkie talkie,
"Badur, calling Badur"
"Yaaaa.. masuk"
Badur menjawab dengan nada bergurau. Dalam hati saya
"Aik!! Ok sudah lah mood dia ni"
Saya pun tanya Badur lagi,
"Kau mau kunci jam sudah kah"
"Ya bro... kalau kau sudi datang tempat saya, saya akan jalankan rondaan hehehehe"
Badur menjawab dengan nada bergurau.
Saya pun bergegas ke tingkat 5. Apabila saya sampai di tempat Badur dia menyambut dengan senyuman.
"Bro jangan kau ambil hati saya tiba-tiba masam muka tadi arrr. Penat bah naik tangga sampai tingkat 6"
"Ok bah"
Walau pun alasan dia kurang memuaskan saya kasi ok saja. Saya malas sudah memikirkan perangai pelik diorang.
Di tingkat 5 kereta agak sunyi sedikit kalau sudah jam 11. Hanya ada beberapa kereta, itu pun kereta yang parking untuk satu malam. Orang pun tiada yang lalu lalang sudah. Semua pengunjung yang mahu menonton wayang parking di tingkat 1 dan 2 sebab dekat dengan pondok bayar tiket parking dan dekat dengan gate keluar. Saya yang merasa boring menunggu Badur siap meronda, mula membelek belek buku laporan pengawal yang ada atas meja Badur. Dalam buku laporan itu seminggu lalu ada pengawal bernama Alan menulis laporan rondaan. Tapi yang peliknya dia hanya membuat laporan sehari sahaja.
"Sudah berhenti barangkali"
bisik hati saya, sebab tiada pula nama Alan kena transfer ke shift siang.
Sedang saya asyik membaca buku laporan tiba-tiba wakie talkie saya berbunyi dengan suara yang tidak jelas dan putus putus.
"Khizzzz!!! Khizzz!!!" bunyi walkie talkie saya.
Saya pun mencapai walkie talkie saya
"Badur calling Badur"
Namun masih sama bunyi yang tidak jelas berserta bunyi "khizzz!!" Seperti radio yang tiada siaran. Saya cuba sekali lagi
"Calling Rajik"
Masih lagi bunyi yang tidak jelas suara terputus putus yang keluar dari walkie talkie saya. Perasan risau mula melanda takut kalau ada apa-apa kes kecemasan berlaku. Saya mula berdiri kemudian berjalan mundar mandir sambil terus cuba menghubungi Badur dan Rajik tapi bunyi walkie talkie masih sama.
"Khizzzz!!! Khizzz!!!!" Itu saja bunyi yang keluar. Saya cuba meninjau sekeliling tingkat 5 kalau-kalau ada kelibat Badur namun tiada. Ketika saya berfikir tindakan apa yang perlu saya ambil dengan tiba-tiba walki talkie berbunyi
"Khizzz!!! Tingkat 6 khizzz!!!!#&@^@ tingkat"
Tanpa berlengah saya terus bergegas ke tingkat 6. Ketika saya berlari menaiki tangga suara dalam walkie talkie semakin jelas
"Tingkat 6, tingkat 6, tingkat 6"
Saya sangat risau ada kes terjadi lantas terus berlari sekuat hati menuju ke tingkat 6. Apabila tiba di tingkat 6 saya terus berteriak memanggil Badur namun hanya gema suara saya saja kedengaran. Kawasan parking tingkat 6 kosong tanpa sebiji kereta pun. Saya terus berlari di sekeliling tingkat 6 mencari Badur sambil memanggil namanya. Pada waktu itu walkie talkie saya berhenti berbunyi sudah. Saya cuba menghubungi Badur.
"Badur calling Badur"
Tapi tiada respon.
"Rajik calling Rajik"
Pun sama juga tiada jawapan.
Saya pun terhenti seketika sambil melihat sekeliling untuk mencari badur. Ketika saya cuba menghubungi mereka sekali lagi tiba-tiba saya terdengar suara perempuan menangis. Suara tangisan itu kedengaran sangat kuat sehingga bergema seluruh tingkat 6 dengan tangisannya. Saya cuba mencari dari arah mana suara menangis itu. Kemudian saya ternampak seorang perempuan berdiri di tepi kawasan parking menghadap ke luar. Jarak saya dengan perempuan itu lebih kurang 30 meter. Saya terus menuju ke arah perempuan itu
"Miss hello miss, kamu ok kah"
Semakin saya dekat semakin kuat suara dia menangis. Sebelum saya sempat sampai ke tempat perempuan itu dengan tiba-tiba dia melompat terjun ke bawah.
"JANGAN!!!!!!!"
Itu saja yang mampu keluar dari mulut saya yang tidak sempat menghalang dia. Saya berlari menuju ke tepi kawasan parking untuk melihat ke bawah. Saya sangat terkejut apabila melihat tiada siapa-siapa dia bawah.
"Mana dia pigi"
Saya terus berundur ke belakang sehingga terduduk. Seluruh badan saya terasa kembang dan bulu roma pun naik. Lutut terasa lemah dan jantung berdegup kencang. Belum sempat saya berdiri tiba-tiba saya terdengar suara dari atas siling
"~~~aabaaannggg~~~hehehe~~"
Apabila saya mendongak saya ternampak perempuan dengan kakinya melekat di siling, kepalanya ke bawah sambil rambut panjangnya berjuntai hampir mengenai muka saya. Muka perempuan itu sangat jelas dengan kulit pucat dan mata terbeliak besar merenung ke arah saya sambil tersenyum memanggil
"~~~aaabaaanggg~~~"
Saya terus berlari sekuat hati sambil berteriak
"Arrrrrggggghhh Badurrr toolooongg!!!!!"
Saya terus menuju ke tangga untuk ke tingkat 5. Saya bukan lagi berlari biasa turun anak tangga tapi melompat lompat kerana ketakutan. Ketika saya keluar dari tangga untuk ke tingkat 5 tiba-tiba pintu tangga tidak dapat dibuka. Saya menarik sekuat hati sambil menumbuk pintu dan memanggil minta tolong tapi pintu tidak terbuka dan tiada orang yang datang menolong. Ketika saya bertungkus lumus membuka pintu dari atas kedengaran suara tangisan perempuan tadi
"~~~~abang~~~jangan tinggalkan saya~~~huhuhu"
Selepas terdengar begitu saya berhenti membuka pintu keluar ke tingkat 5 dan terus berlari turun ke tingkat 2. Ketika saya berlari turun sekuat hati tiba-tiba kaki saya menjadi berat dan seolah olah ada benda berat di belakang saya. Saya cuba berteriak tapi suara saya tidak dapat keluar. Benda di belakang saya terasa panas. Saya terus menutup mata dan menangis ketakutan. Ketika saya cuba sedaya upaya untuk bergerak terasa seperti ada rambut terkena di tengkuk saya. Mata saya terus tutup sekuatnya sebab saya tahu dia di belakang saya sudah. Selepas itu saya terasa seperti ada hembusan nafas di telinga saya berserta bau haruman kemudian ada bisikan perempuan
"~~~kita kahwin ya bang~~~"
Disambung dengan ketawa megilai betul-betul dekat telinga saya. Selepas itu bunyi "nggiiiiitttt" nyaring di telinga saya dan saya tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Saya jatuh pengsan.
Selepas saya sedar saya di luar bangunan sudah berbaring di atas troli ambulan. Saya nampak cahaya ambulan berkelip kelip. Rajik dan Badur bersama beberapa nurse menyorong saya ke arah ambulan.
"Nah sedar sudah dia" kata Badur
"Ya, ya. Biar dia berehat dulu" kata nurse itu sambil terus menyorong saya ke arah ambulan. Selepas mendengar kata nurse begitu Badur dan Rajik berhenti mengekori. Saya hanya mampu merenung mereka sambil di usung masuk ke dalam ambulan. Terasa banyak yang ingin saya tanya kepada mereka tapi kepala saya terasa sakit dan pening. Ketika saya memandang Badur dan Rajik dari jauh kelihatan seorang perempuan berdiri di tengah-tengah. Terasa seperti mereka bertiga merenung tajam ke arah saya kemudian Badur,Rajik dan perempuan itu mengukir satu senyuman seram. Saya cepat-cepat tutup mata. Saya tidak membuka mata sehingga saya terdengar pintu ambulan itu di tutup.
Berikutan kejadian itu saya berada di wad hospital lebih kurang seminggu. Kepala saya luka dan menerima 9 jahitan. Tangan kiri patah dan ada tulang rusuk sebelah kiri yang patah. Ramai kawan dan saudara yang datang melawat. Sudah tentu soalan pertama mereka
"Apa yang terjadi"
Saya hanya jawab saya tergelincir di tangga. Ada beberapa rakan sekerja termasuk ketua pengawal datang melawat namun Badur dan Rajik tidak muncul. Saya memberitahu ketua pengawal bahawa saya tidak akan kembali bekerja lagi. Selepas keluar dari hospital saya terus balik kampung dan tidak akan menjejakkan kaki ke tempat itu lagi.
-------------------------------------TAMAT------------------------------------------
Note: cerita ini hanya rekaan untuk tujuan hiburan semata-mata. Tiada kaitan dengan sesiapa sama ada masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia.
Untuk update cerita seram, cerita menarik dan info semasa sila like facebook page kolopia
https://www.facebook.com/kolopia/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment